Alhmdulillah. Hari ini bermula dengan 4S1 - 4A1. Pelajaran tajuk sembelihan dapat diselesaikan. Relief dua kelas iaitu kelas 4P1 dan 5P5. Persediaan untuk mengajar tingkatan 2 masih belum selesai sepenuhnya. Masa-masa senggang yang ada pada waktu pagi dihabiskan dengan membuat persediaan tersebut.
Jam 1.05. Melangkah ke kelas 2K5- 2K8. Hari ini aku akan mengajar tajuk yang agak berat.
"Golongan yang diharuskan untuk berbuka puasa" dan " Allah Maha Adil". P&P berjalan dengan menggunakan kaedah 'chalk and talk' atau lebih tepat 'marker pen and talk'. Suara yang pitching rendah dikerjakan sekuatnya demi memastikan seluruh kelas dapat mendengar suara ini. Namun, kadang-kadang masih ada yang tidak dapat mendengar suaraku. Apakan daya kerana sekadar itu dapat kujeritkan suara.
Aku memahami perasaan pelajar yang bosan dan letih dengan P&P hari ini berikutan tiada aktiviti yang aku sediakan untuk mereka. Aku berusaha mengajar untuk memastikan mereka faham konsep Qada', Fidyah dan Kaffarah. Tajuk ini sangat penting sebagai seorang Muslim. Aku tidak dapat menjalankan aktiviti sebelum mereka dapat memahami sepenuhnya tajuk ini. Aku cuba bertanyakan soalan kepada mereka di celah-celah pengajaranku. Namun, aku perasan masih ada yang tidak dapat memberikan tumpuan dan bercakap-cakap.
Aku bertahan dan bersabar. Aku sangat mengerti keletihan mereka. Namun, sebagai guru, aku harus menghabiskan tajuk yang diajar. Tersepit aku antara kehendak mereka dan tanggungjawab aku sebagai seorang guru. Aku juga pernah menjadi pelajar. Zaman sekolahku, aku merupakan pelajar sederhana seperti mereka. Aku memahami mereka tidak dapat menerima banyak benda dalam satu masa. Namun, waktu agama yang diletakkan 4 masa straight menyebabkan aku tiada pilihan lain.
Selesai tajuk puasa. Aku menyambung pembelajaran dengan tajuk Allah Maha Adil. Aku tidak sempat menghabiskan tajuk ini. Aku membuat sedikit kuiz untuk mereka. Itupun hanya 5 soalan sahaja dapat dilontarkan dek kekangan masa. Aku benar-benar kecewa kerana tidak dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif, yang menggembirakan dan menarik minat pelajarku. Tidak pernah aku terfikir aku akan menggunakan hanya air liurku sahaja sebagai bahan bantu mengajar dalam kelas hari ini. Aku benar-benar sedih. Kesedihan, kekecewaan dan rasa terkilan menyebabkan aku sangat keletihan hari ini. Ditambah dengan tenaga yang habis digunakan apabila bercakap dalam nada menjerit selama 4 masa berturut-turut. Ya Allah, aku tidak tahu apakah hikmahnya kejadian hari ini. Aku mohon ampun padamu Ya Allah andai aku gagal dalam melaksanakan tugasku hari ini.
Pulang ke rumah dengan rasa letih dan rasa sedih sangat tidak menyeronokkan. Namun, harus ku tangkis perasaan itu secepatnya kerana aku harus membuat persediaan untuk mengajar tingkatan 4 pula esok.
Wahai pelajarku, maafkan aku kerana kurang pengetahuan dalam mengajar kalian, tidak menyediakan aktiviti semasa P&P dan sebagainya. Mudah-mudahan aku mendapat pengajaran dengan peristiwa ini. Aku hanya guru Novis yang sedang belajar daripada kesilapan.
Ya Allah, tenangkanlah hatiku. Kurniakanlah aku kekuatan dan semangat untuk mengajar adik-adik pelajarku dengan penuh kesabaran dan kasih sayang.
Wahai pelajar, ketahuilah kalian bahawa aku amat mengasihimu kerana Allah.
Tulisan ini sekadar coretan biasa seorang guru baru sbg pengubat rasa hati yang gundah.
Wallahualam.
Tuesday, July 7, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment